MH370:Tompokan Minyak Bukan dari Pesawat MH370

KENDERAAN Dalam Air Automatik yang dikenali Bluefin-21 mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi semalam.

PERTH - Tompokan minyak dikesan pada Ahad lepas oleh kapal pertahanan Australia Ocean Shield di selatan Lautan Hindi, kawasan pencarian pesawat Malaysia yang hilang, bukan minyak pesawat atau cecair hidraulik.

Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC), yang menyelia operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia MH370, berkata, perkara itu disahkan berdasarkan analisis awal dilakukan pada sampel diambil di kawasan pencarian yang tiba di Perth pagi semalam.

Pada Isnin lalu, Ketua Penyelaras JACC, Angus Houston berkata pada sidang media bahawa tompokan minyak itu ditemui kira-kira 5,500 meter (meter) dalam kawasan isyarat 'ping' dikesan sebelum itu oleh alat pengesan pinger ditunda yang digunakan kapal Ocean Shield.

Dua liter tompokan minyak itu kemudian diambil sebagai sampel.

Dalam perkembangan lain, JACC berkata hasil penilaian oleh pihak Phoenix International dengan bantuan Bluefin Robotics mendapati wujud risiko kecil tetapi pada tahap boleh diterima bagi penggunaan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV) dikenali Bluefin-21, pada kedalaman melebihi 4,500m.

"Peluasan parameter operasi itu membolehkan Bluefin-21 melakukan pencarian di dasar laut pada had yang dijangkakan di kawasan pencarian ketika ini," menurut agensi itu dalam kenyataan.

Phoenix International yang berpangkalan di Amerika Syarikat adalah pemilik dan pengeluar Bluefin-21 dan Bluefin Robotics.

JACC turut menafikan laporan beberapa syarikat media sebelum ini bahawa Bluefin-21 akan mengambil masa antara enam minggu dan dua bulan untuk mengimbas seluruh kawasan pencarian, menegaskan kenyataan itu tidak betul.

Terdapat alat pengesan dilengkapi sonar yang menggunakan bunyi akustik dan peta tiga dimensi pada Bluefin-21 yang digunakan untuk mengimbas kawasan dasar laut.

Ia digerakkan tiga kali sehari bagi pencarian dalam air sejak pertama kali digunakan pada Isnin lepas.

Bagaimanapun, data dicerap daripada dua misi sebelum ini tidak menemui sebarang objek setakat ini.

Ia dikerahkan dengan harapan dapat mengesan serpihan pesawat itu di dasar laut, susulan tiada lagi isyarat dikesan oleh alat pengesan pinger ditunda sejak 8 April lalu.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 kru berlepas pada 8 Mac lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam dan hilang dari imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Selepas analisis dibuat terhadap data satelit, ia menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu berada di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac lalu bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama
0 Komentar untuk "MH370:Tompokan Minyak Bukan dari Pesawat MH370"

 
Copyright © 2014 Gaban Comel - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info