Agensi Perisikan Antarabangsa Bantu Kenal Pasti Individu Menyamar Naik MH370
Gambar dua individu yang menyamar dan menaiki pesawat MH370 yang hilang pada Sabtu lalu dikeluarkan kepada agensi perisikan antarabangsa.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, ini bagi membantu untuk mengenal pasti individu terbabit.
"Kita berharap dapat memberikan gambar mereka kepada media tidak lama lagi.
"Semua maklumat berkaitan akan diteliti oleh agensi perisikan berkaitan. Terlalu awal untuk mengeluarkan sebarang maklumat pada masa ini," katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata pada Isnin bahawa kedua-dua penyamar itu kelihatan seperti orang Asia.
Ditanya sama ada mereka mempunyai wajah seperti orang Asia, Hishammuddin berkata: "Tidak, tidak seperti yang saya tahu."
Mengenai kemungkinan kesilapan dari aspek keselamatan yang membolehkan dua penyamar itu melepasi pemeriksaan Imigresen, Hishammuddin berkata, lebih 40 juta pasport dicuri kini di dalam pangkalan data Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, salah seorang penyamar telah dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Saya boleh mengesahkan bahawa dia bukan warganegara Malaysia, tetapi tidak boleh mendedahkan beliau berasal dari negara mana buat masa ini," katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah: "Lelaki yang telah dikenal pasti itu bukan dari wilayah autonomi Xinjiang Uyghur di China."
"Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti seorang suspek lagi," Khalid kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kajang pada Isnin.
Beliau berkata, polis tidak mempunyai pengesahan mengenai satu kumpulan militan Cina yang didakwa bertanggungjawab untuk pesawat yang hilang.
Khalid berkata demikian bagi mengulas laporan beberapa portal berita China berhubung satu kumpulan dinamakan sebagai 'Chinese Martyrs’ Brigade' yang didakwa bertanggungjawab menyebabkan kehilangan pesawat MH370 .
Para pegawai yang meneliti rakaman CCTV itu berkata bahawa dua lelaki yang menggunakan pasport curi itu kelihatan seperti 'Caucasian'.
Rakyat Itali, Luigi Maraldi, yang namanya di dalam senarai penumpang, tidak menaiki pesawat yang hilang dan menurut beberapa laporan dari Itali, pasportnya dicuri pada Ogos tahun lepas ketika berada di Thailand.
Rakyat Austrian, Christan Kozel yang pasportnya digunakan oleh penumpang lain turut mengesahkan dirinya selamat dan berada dalam keadaan baik.
Kozel memberitahu sebuah akhbar Austrian bahawa pasportnya dicuri ketika berkunjung ke Thailand dua tahun lepas.
Para pegawai berkata, kedua-dua penyamar itu pastinya menukarkan gambar pada pasport yang dicuri menggunakan gambar mereka sendiri.
"Kedua-dua penyamar itu dilihat melalui pemeriksaan visual dengan mudah kerana gambar di dalam pasport sepadan dengan wajah mereka," kata salah seorang pegawai."
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman menolak andaian bahawa terdapat kecuian dalam aspek keselamatan.
"Aspek keselamatan lapangan terbangan kami memenuhi standard oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan selama beberapa tahun," katanya.mstar.com.my
0 Komentar untuk "Agensi Perisikan Antarabangsa Bantu Kenal Pasti Individu Menyamar Naik MH370 "