Sewa Wanita Muda Berlakon Jadi Anak.



Kehidupan sedih warga emas yang semakin ramai di China mendapat tumpuan baru-baru ini apabila seorang nenek mengaku begitu sunyi dan sanggup ‘menyewa’ wanita muda untuk berlakon menjadi anak perempuannya.

Li Yanling, 63, menghebohkan media sosial di China apabila menawarkan cuti percuma kepada wanita muda yang sanggup disewa dan bersedia menemaninya ke Hainan.

Selain menanggung semua kos percutian, Li turut menawarkan telefon bimbit iPhone 7 kepada wanita itu.


“Saya hidup bersendirian di Zhengzhou. Saya perlukan wanita muda berusia antara 19 dan 24 tahun bercuti bersama saya, berbual dan mengambil gambar.

“Saya berminat melihat laut di Sanya pada musim sejuk ini tetapi bimbang kesunyian ketika bercuti,” tulis Li dalam laman WeChat.

Selepas tulisannya tular, beberapa pengguna menawar menemani Li tanpa bertanyakan hadiah yang ditawarkan.




“Saya tidak perlukan telefon itu tetapi bersedia menemani anda. Saya akan membayar sendiri kos percutian saya asalkan ia dapat menghilangkan kesunyian anda,” kata seorang pengguna.

Yang menyedihkan, keterdesakan Li untuk mendapatkan teman bukan kerana dia tidak berkeluarga. Dia kesunyian sejak satu-satunya anaknya berhijrah ke Kanada dan suaminya melakukan pengembaraan berpanjangan, menyebabkan dia keseorangan di rumah.

“Suami saya ada rakan bersamanya dan saya tidak mahu mengganggu anak saya,” katanya.

Meskipun dia boleh memilih untuk bercuti secara berkumpulan, Li berkata, dia mahukan seorang wanita yang bersedia menjadi anak angkatnya.

“Saya takutkan kesunyian,” kata Li.

Warga yang kesunyian seperti Li membentuk separuh daripada populasi penduduk yang sudah berusia di China yang menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Perancang Keluarga China berjumlah 220 juta tahun ini. - Agensi
0 Komentar untuk "Sewa Wanita Muda Berlakon Jadi Anak."

 
Copyright © 2014 Gaban Comel - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info