Waktu Tepat ACARS MH370 Dimatikan Tidak Relevan Dengan Lokasi Pesawat


SEPANG: Waktu tepat alat komunikasi Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, tidak relevan untuk mengesan lokasi pesawat itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, waktu tepat bila sistem itu dimatikan tidak memberi kelebihan kepada operasi mencari dan menyelamat pesawat itu.

"Kami tahu kedudukan terakhir pesawat itu seperti disahkan pasukan penyiasat antarabangsa adalah sama ada di koridor utara atau koridor selatan, yang menjadi fokus usaha mencari dan menyelamat.

"Keutamaan kami ialah mencari pesawat ini," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat MH370, di sini Selasa.

Beliau berkata, Malaysia Airlines (MAS) tidak dapat menentukan dengan tepat bila ACARS dimatikan, hanya ia berlaku dalam tempoh waktu spesifik.

Tempoh waktunya adalah dari 01.07 pagi – anggaran ketika pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia, dan transmisi terakhir ACARS berlaku – hingga 01:37 pagi, iaitu masa pelaporan seterusnya dijadualkan.

"Ini tidak mengubah kepercayaan kami, seperti dinyatakan, bahawa sehingga ke titik ia keluar daripada liputan radar primer tentera, pergerakan pesawat itu adalah konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat," katanya dan menurutnya perkara itu menjadi tumpuan pasukan penyiasat.

Penerbangan MH370 ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi, 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi mencari pesawat itu yang melibatkan 26 buah negara setakat ini tidak membuahkan hasil.mstar.com.my
0 Komentar untuk "Waktu Tepat ACARS MH370 Dimatikan Tidak Relevan Dengan Lokasi Pesawat "

 
Copyright © 2014 Gaban Comel - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info