Kisah seram di bilik mayat di Hospital
Hasri terkedek-kedek berjalan di belakang Doktor Rasyid dan pembantunya, mengejar langkah mereka berdua yang berjalan dengan agak pantas. Itu hari pertama dia berada di Hospital itu. Setepatnya, itu malam pertama ia menjalani latihan di hospital itu. Mereka bertiga melewati koridor kecil yang menghubungkan bangunan utama kepada bangunan yang lebih kecil. Malam itu dia akan melihat bagaimana bedah siasat dilakukan. Perasaan teruja berbaur seram memaut tangkai hatinya, berbuai-buai hatinya digayut takut.
" Kita ada kes baru, dok..." Hasri terdengar pembantu itu melaporkan kepada Doktor Rasyid.
" Kes bunuh? " tanya Doktor Rasyid.
" Tak.... Eksiden Motor. Mangsa terperosok di bawah treler. Kena gilis..."
Hasri terkedu apabila mendengarkan itu. Dia bakal seorang doktor tetapi dia masih merasa ngeri jika terpaksa berdepan dengan mayat yang berkeadaan sebegitu. Sebaik sahaja pintu bilik bedah siasat dibuka, udara sejuk menerjah keluar, menyapu wajah Hasri. Sejuknya menggigit ke tulang pipi. Terngiang-ngiang cerita kawan-kawannya tentang bilik bedah mayat, tentang perkara-perkara aneh dan seram yang berlaku di billik itu.
Di atas meja besi tahan karat itu terbujur sekujur mayat ditutupi sehelai plastik putih. Pembantu itu pun menarik plastik putih itu. Hasri ternganga apabila melihat keadaan mayat itu yang sungguh mengerikan: kaki kanannya telah putus, sebelah kanan tubuhnya sudah melepek seperti terhempap benda berat, lehernya terkulai dan mungkin tengkuknya telah patah, kepalanya kemek manakala kulit mukanya seperti ditarik menyebabkan mukanya terherot seperti disiat.
Doktor Rasyid tidak membuang masa, dia terus mencapai gunting dan perkakasan lain manakala pembantunya menolong mana-mana yang perlu. Hasri hanya berdiri di sebelah Doktor Rasyid. Dia tak dibenarkan menyentuh apa-apa buat kali ini. Doktor Rasyid menggunting pakaian mayat dengan berhati-hati. Darah masih mengalir, belum beku. Pembantu itu pun segera jirus darah tu dengan air, darah itu pun mengalir ke satu sudut meja besi lalu mengalir turun melalui sebatang paip dan hilang entah ke mana. Bau hanyir menusuk hidung. Darah manusia memang hanyir.
Sebaik selesai mayat itu dibogelkan, Hasri dapat lihat tubuh mayat itu seperti dikecai-kecaikan. Tiba-tiba Hasri seperti melihat kaki mayat itu bergerak-gerak. Dia tersentak lalu melontarkan pandangan terkejutnya kepada pembantu itu. Pembantu itu hanya tersenyum memandang Hasri.
" Itu perkara biasa... tak ada apa-apa..." kata pembantu itu.
Doktor Rasyid menoleh sebentar kepada Hasri. Dari balik topeng putih itu, Hasri dapat rasakan doktor tua itu tersenyum menyindirnya. Hati Hasri bercelaru. Kaki mayat itu masih menguit-nguit seperti mahu bangun. Debaran jantung menggetarkan dadanya. Kali ini, tangan kiri mayat itu pula yang bergerak-gerak. Berbagai-bagai cerita seram yang pernah didengarinya kembali ke kanvas imaginasinya.
Tak lama kemudian, Hasri terdengar bunyi seperti orang mendengus. Cepat-cepat Hasri renung mulut mayat yang herot itu, mana tahu kalau-kalau mayat itu yang berkeluh-kesah. Sungguh besar dugaannya di bilik mayat, sama seperti cerita-cerita yang didengarinya sebelum ini.
" Saya... saya dengar macam....."
" Shhh....! " pembantu itu memotong kata-kata Hasri.
" Tapi... "
" Shhhh...!!! " kali ini pembantu itu sedikit jengkel dengan Hasri.
Tiba-tiba, bau busuk seperti telur tembelang menusuk hidung Hasri. Dia hampir tersedak dan lemas apabila tercium bau busuk itu. Dia pun memekup hidungnya sambil menoleh kepada pembantu itu. Sepantas itu juga pembantu itu menjegilkan matanya, membulat.
" Aku kentut... " kata Doktor Rasyid dengan selamba.
0 Komentar untuk "Kisah seram di bilik mayat di Hospital"