MH370:Pakar Ramal Serpihan MH370 Akan Hanyut ke Pantai.
PERTH - Bukti pertama sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) terhempas di Lautan Hindi mungkin dijumpai apabila serpihan pesawat itu hanyut ke pantai dalam tempoh beberapa minggu lalu, menurut laporan akhbar South China Morning Post semalam.
Pakar-pakar Oseanografi berkata, arus dan tiupan angin kemungkinan menghanyutkan serpihan pesawat MH370 yang terapung di kawasan pantai di barat Australia.
Seorang pakar Oseanografi, Dr. Alec Duncan dari Universiti Curtin di sini berkata, angin yang bertiup akan menolak serpihan ke bahagian barat tetapi ia mungkin mengambil masa beberapa bulan kerana kawasan carian terletak jauh dari daratan.
Katanya, terdapat kemungkinan serpihan pesawat itu dihanyutkan ke kawasan pulau yang terdapat di Lautan Hindi.
Seorang lagi pakar, Erik van Sebille berkata, sekiranya pesawat itu terhempas berhampiran Australia terdapat peluang cerah ada serpihan yang akan dihanyutkan ke pantai.
Satu model janaan komputer yang dicipta Sebille yang menjejaki sampah lautan adalah berdasarkan data sebelum ini yang mencadangkan sesuatu yang terapung kira-kira 1,800 kilometer dari Australia mengambil masa selama enam bulan untuk sampai ke darat.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran kemungkinan sukar untuk mengenal pasti sesuatu serpihan kerana ia sudah lusuh akibat terlalu lama di laut.
"Terlalu banyak sampah di lautan dan jika anda menyiasat setiap objek yang hanyut ke pantai peluang untuk menemui serpihan itu agak tipis," katanya.
Pesawat MH370 dipercayai berakhir di Lautan Hindi ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.
Ia membawa 227 penumpang dan 12 kru. -kosmo.com.
0 Komentar untuk " MH370:Pakar Ramal Serpihan MH370 Akan Hanyut ke Pantai."