Van Dipasang Dengan Perangkap Maut


Seorang juruelektrik telah memasang perangkap elektrik 1,000 volt bagi menghalang pencuri memecah masuk ke dalam van miliknya, lapor akhbar The Sun semalam.

Ray Taylor, 61, mengambil langkah drastik itu selepas kerugian lebih £5,000 (RM25,000) akibat peralatannya dicuri dua tahun lalu manakala polis mengesahkan pengubahsuaian terhadap van itu tidak melanggar undang-undang.


Perangkap itu menjadi sebahagian daripada sistem amaran yang dipasang pada van Citroen Dispatch miliknya. Sistem itu membunyikan siren dan bunyi dentuman kuat.

Kesemua bunyi itu bersamaan dengan kekuatan 120 desibel iaitu bersamaan bunyi sebuah pesawat penumpang yang sedang berlepas.

“Jika bunyi siren itu tidak menakutkan pencuri, kejutan elektrik itu mampu melakukannya. Mereka akan terkena renjatan elektrik yang kuat,” jelas Taylor dari bandar Wolverhampton, England.

“Sistem baru ini telah menyelesaikan semua masalah saya. Kini saya boleh tidur lena. Renjatan elektrik itu tidak akan menyebabkan kecacatan kekal tetapi akan membuatkan mereka terkejut besar,” tambahnya.

Taylor memasang sistem renjatan 1,000 volt itu dari sebuah mesin perangkap serangga terbang kepada plat besi di bahagian pemegang pintu belakang van tersebut.

Ini akan menyebabkan renjatan pada bahagian itu sahaja sementara bahagian besi lain pada van berkenaan tidak mempunyai aliran arus elektrik.

Taylor juga telah menuntut paten hak cipta untuk rekaannya itu dengan mengenakan bayaran £380 (RM1,900) bagi memasang sistem serupa pada kenderaan lain.

Polis West Midlands bagaimanapun memaklumkan mereka tidak akan menyokong penggunaan kaedah sedemikian bagi menghalang aktiviti mencuri. – Agensi
0 Komentar untuk "Van Dipasang Dengan Perangkap Maut"

 
Copyright © 2014 Gaban Comel - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info