Remaja Mempunyai 232 Gigi Luar Biasa Catat Rekod Dunia.


Selama 18 bulan menanggung kesakitan, seorang remaja tidak menyangka penderitaan itu membawa kepada penemuan lain yang lebih mengejutkan.

Ashik Gavai, 17, mengalami penyakit unik sehingga memaksa doktor pakar melakukan pembedahan bagi membuang 232 gigi dari mulutnya.

Gavai mula mengadu sakit gigi dan bengkak rahang kirinya lebih setahun lalu, namun setiap kali bertemu doktor di kampungnya, mereka gagal mencari punca masalah berkenaan.

Akhirnya kes Gavai dirujuk ke Hospital J J di Mumbai dan seorang pakar pembedahan mulut, Sunanda Dhiware memeriksanya dengan teliti.

Ujian lazim dijalankan dan punca kesakitan Gavai masih belum ditemui.

Akhirnya Sunanda membuat keputusan melakukan pembedahan dan ketika itu barulah dia melihat puluhan gigi-dengan pelbagai saiz-tumbuh pada gusi remaja terbabit. Sunanda berkata, Gavai mengalami penyakit dikenali sebagai odontoma kompleks yang menyebabkan berlaku pertumbuhan gigi secara luar biasa.


 
“Kes begini sangat jarang berlaku,” katanya. Bersama seorang lagi pakar pembedahan dan dua pembantu lain Sunanda menjalankan pembedahan selama tujuh jam bagi membuang semua gigi lebihan Gavai.

Kata Sunanda proses membuang gigi itu tidak boleh menggunakan kaedah biasa.

“Kami menggunakan penukul dan pahat untuk memecahkan gigi berkenaan sebelum ia dikeluarkan.

“Kaedah ini jarang digunakan ketika ini,” katanya. Sunanda berkata setakat apa yang diketahuinya jumlah gigi terbanyak pernah dibuang daripada seseorang ialah 37, namun dia perlukan kajian lebih lanjut sebelum memberi komen sama ada Gavai wajar dianggap mencatat rekod dunia. Selepas pembedahan berlangsung Gavai kini memiliki 28 gigi, jumlah yang normal untuk seorang dewasa. - Agensi





0 Komentar untuk "Remaja Mempunyai 232 Gigi Luar Biasa Catat Rekod Dunia."

 
Copyright © 2014 Gaban Comel - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info