Freescale Semiconductor Di Texas Sahkan 20 Kakitangannya Menaiki Pesawat MH370
WASHINGTON: Sebuah syarikat semikonduktor di Texas pada Sabtu berkata kira-kira 20 kakitangannya disahkan antara 239 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi Sabtu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Freescale Semiconductor, Gregg Lowe berkata antara kakitangannya yang menaiki pesawat tersebut terdiri daripada 12 warga Malaysia dan lapan lagi dari China.
"Buat masa ini, kami amat memberi tumpuan terhadap kakitangan kami dan keluarga mereka. Doa kami untuk mereka yang berada dalam pesawat itu," katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat masih mengesan pesawat tersebut yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang lebih 24 jam selepas dilaporkan terputus hubungan ketika berada di antara ruang udara Malaysia dan Vietnam.
Seramai 153 penumpang warga China termasuk seorang bayi manakala 38 warga Malaysia dan tujuh dari Indonesia berada di dalam pesawat tersebut.
Sementara itu, enam warga Australia, lima dari India, empat warga Perancis dan tiga warga Amerika termasuk seorang bayi turut disenarai sebagai penumpang yang menaiki pesawat itu.
Kementerian Luar Belanda berkata, seorang rakyatnya turut berada dalam pesawat tersebut.
"Seluruh warga kerja Freescale Semiconductor amat sedih dan terkejut dengan berita ini. Syarikat ini akan terus memantau perkembangan semasa mengenai misteri kehilangan pesawat itu," menurut kenyataan itu lagi.mstar.com.my
0 Komentar untuk "Freescale Semiconductor Di Texas Sahkan 20 Kakitangannya Menaiki Pesawat MH370"